|
Bab 1
::
Sesungguhnya, Dalam Kesempitan Ada Kesempatan
Adakah anda memeriksa tayar kereta anda? Jika tayar kereta anda jenama Goodyear, sekarang anda perlu tahu bahawa tayar kereta itu dicipta ketika dalam kesempitan.
Charles Goodyear telah dipenjara kerana gagal untuk membayar cukai. Adakah beliau mengeluh ketika di dalam penjara? Adakah keluhan dan rungutan boleh mengubah keadaan? Charles Goodyear menggunakan masa yang banyak terluang di dalam penjara itu untuk membuat kajian yang lebih mendalam terhadap potensi getah asli.
Hari ini tayar Goodyear terhasil dari kajian Charles Goodyear yang suatu masa dulu berada di dalam kesempitan. Dalam kesempitan sentiasa ada kesempatan.
John Reed yang bekerja di Citibank mendapati bank itu mengalami kerugian. Sesuatu mesti dilakukan. Terciptalah mesin ATM. Satu tarikan baru untuk menarik lebih ramai penyimpan. Dalam kesempitan ada kesempatan.
Frank McNamara, suatu malam mengajak kawan-kawanya makan malam. Sungguh memalukan pada malam itu kerana dompet Frank telah hilang pada malam itu. Dari insiden itu terciptalah Diners Club.
Cerita-cerita tadi membuktikan bahawa dalam kesempitan bukan saja ada kesempatan tetapi dalam kesempitan juga boleh terhasil produk baru, idea baru yang memberi kemudahan orang ramai.
Jadi, lain kali jangan melihat kesempitan sebagai kesempitan. Lihat dan cari hikmah yang tersembunyi di sebalik kesempitan. Soalnya, ramai di antara kita yang hanya memberi tumpuan kepada kesempitan itu, memikirkan kesempitan-kesempitan yang telah, sedang dan akan dilalui. Bila seluruh masa digunakan untuk memikirkan kesempitan maka apa yang diperolehi hanya kesempitan yang berterusan. Ini kerana sejak dahulukala, terbukti sudah bahawa anda akan mendapat apa yang menjadi tumpuan. Yang menjadi fokus itulah yang diperolehi. Yang sempit menjadi bertambah-tambah sempit. Yang buruk bertambah-tambah buruk.
Bagaimana kura-kura melepaskan diri dari di makan oleh musang yang bodoh sombong? Mudah. Kura-kura memberitahu musang, untuk melembutkan badannya yang keras itu, ia mestilah direndam terlebih dahulu. Musang menolak kura-kura ke dalam air supaya badan kura-kura menjadi lembut. Kura-kura ketawa dan mengucapkan selamat tinggal. Dalam kesempitan ada kesempatan.
Sejarah di dunia ini terbukti sudah bahawa dalam setiap kesempitan ada banyak kesempatan. Kesempatan hanya akan diperolehi jika menumpukan, mencari kesempatan bukan menumpukan kepada kesempitan itu. Cari, mesti tersedia keuntungan dalam kesempitan. Dalam kesempitan, berfikir positif adalah kerja bodoh. Fikirkan negatif, berfikir secara menyongsang, fikirkan sebaliknya - apa keuntungan yang boleh diraih dalam kesempitan. Cari kebaikan yang tersembunyi di sebalik keburukan yang terjadi.
Generasi sekarang mungkin kurang kreatif. Mungkin juga kreatif terhadap perkara yang bukan-bukan. Mungkin terlebih kreatif kepada perkara yang berbentuk hiburan. Sipa lagi yang pandai menukar kayu di hutan menjadi benda yang berpusing? Gasing adalah ciptaan akal kreatif, tetapi mengapa yang berbentuk hiburan? Mengapa yang berunsur perjudian? Tidak bolehkah mencipta benda yang memberi faedah kepada orang ramai? Siapa lagi yang lebih kreatif menukar stereo dalam kereta hingga menjadi seperti dalam konsert? Siapa lagi yang kreatif menukar bunyi motosikal menjadi seperti bunyi semboyan?
Kata orang, hanya yang dalam kesempitan sahaja yang menjadi kreatif. Bila manusia atau haiwan lapar, datanglah idea kreatif. Mungkinkah kerana itu umat Islam digalakkan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis? Adakah kita tak kreatif kerana kita tidak susah? Kita tidak terdesak, dalam keadaan terpaksa, kerana itulah kita tidak kraetif. Betulkah begitu?
Generasi sekarang terlampau mewah, kata orang tua-tua. Generasi dulu, radio dianggap barang mewah. Budak-budak sekarang, kalau di rumah tidak ada TV kabel, dikira tidak 'cool'.
Sejak zaman dahulu lagi telah terbukti, bila terlalu mewah, manusia lupa. Manusia kehilangan daya kreativiti, sedangkan fikiran manusia sebenarnya amat kreatif. Bila segala-galanya terlalu mudah dicapai, fikiran jadi beku. Manusia jadi pemalas. Contoh: jika ada 'remote control' di tangan, mahukah anda bangun mengubah saluran TV? Tentu tak mahu. Bukan tak larat tetapi memang tak mahu.
Bila mewah, manusia memang lupa. Antaranya ialah lupa untuk menyimpan. "Buat apa nak menyimpan, kan ada banyak lagi ..." Manusia juga lupa bahawa 'langit tidak selalu cerah'. Dan lagi, lupa bahawa bila kita berada dipuncak, bila terus mendaki bermakna kita sedang turun dari puncak. Sudah lupa teori punca perang dunia kedua? Mengikut teori, ekonomi pada masa itu sudah sampai ke puncak - sudah seperti piramid. Perlu perang untuk menghancurkan piramid agar selepas perang boleh membina piramid semula.
Yang paling pasti, bila berada dalam kemewahan manusia lupa masa susah. Bukan maksudnya kita perlu mengenang masa susah tetapi apa salahnya masa susah itu dijadikan pedoman. Kemudian jika menjadi susah kembali, barulah menyesal tak sudah, "Kalaulah dulu masa aku senang.." Soalnya, mengapa mesti ada perkataan 'Kalau ...'
Kita tak boleh berbuat apa-apa lagi pada perkara yang telah terlepas. Kita tidak boleh menukar hari semalam. Apa yang perlu diberi perhatian ialah hari ini kerana hari ini akan mencorakkan hari esok.
Hari ini, jika anda masih tersepit, jangan fikirkan kesempitan itu sebaliknya sentiasa ingat dari pagi ini hingga ke pagi esok - setiap hari sentiasa ada peluang. Dan peluang perlu dicari bukan ditunggu. Dalam mencari peluang sentiasa ingat sebaris ayat ajaib -
'DALAM KESEMPITAN ADA KESEMPATAN'
|